SRAR/SMA AT TA'ALIM
Jamuan Makan Malam Sempena 10 Tahun SERI AT TA'ALIM
Untuk Menambah Tabungan Tabung Pembangunan SERI AT TA'ALIM

Tarikh = 01 Ogos 2009
Jam = 09.00 malam
Tempat = Dewan SRJK(C) Ping Ming, Pundut
Tetamu : YB DS Ir Hj Mohd Nizar Jamaluddin (ADUN Psr Pjg) &
YBrs Dato' Hj Abu bakar Chik (Pengerusi Lajnah Pend. PAS)
Artis Jemputan = Sdr. Azhan (Juara Akademik Nasyid TV9)&
Pasokan Nasyid Seri At Ta'alim
Satu Meja RM30 x10 Orang (RM300.00)
SRAR/SMA AT TA'ALIM
Assalamu’alaikum warahmatul’Lahiwabarakatuh.

Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w beserta keluarganya dan sahabat-sahabatnya radiallah hu anhum.

Pertamanya, kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah s.w.t, dengan izinnya kita dapat merayakan ulang tahun ke 10 penubuhan Sekolah Rendah Islam (SERI) At Ta’alim dan kali ke 5 Sekolah Menengah Islam (SEMI) At Ta’alim dengan penuh keazaman mengharungi segala fitnah dan mehnah serta harapan yang menggunung tinggi untuk mencapai cita-cita meletakkan SERI dan SEMI at Ta’alim sejajar dengan arus pendidikan perdana.

Sesungguhnya mengendali dan mengurus sebuah sekolah rendah dan menengah swasta Islami ditengah kekalutan persaingan dan kekangan memang tidak mudah, namun demi iltizam dan kesetiaan terhadap idealisma pendidikan Islam dan pemerkasaan jamaah, maka ia mesti dilakukan meski pun terpaksa menentang arus, menyanggah ribut dan melawan badai. Kehadiran SERI dan SEMI di kawasan Lumut sebenarnya amat bererti sekali pada saat dunia pendidikan dilanda krisis berat setelah menjadi korban politisasi penguasa dan komersialisasi pendukungnya. Kini, dimana-mana orang mulai menyuarakan keprihatinan bahawa institusi pendidikan formal peringkat rendah dan menengah tidak lagi dapat menyembunyikan kelumpuhan dinamikanya sebagai institusi pemerkasaan dan pencerdasan generasi muda. Warga yang dilahirkan oleh institusi tersebut semakin tidak mampu untuk mengelakkan diri daripada krisis sosial yang melanda dan semakin hilang jati diri sebagai muslim sejati.

10 tahun usia SERI / SEMI bermakna sepuluh tahun komitmen kita dengan sistem pendidikan Islam untuk melahirkan warga yang berilmu, beriman dan beramal. Kini sudah ada bekas-bekas anak didik SERI / SEMI yang sedang menuntut ilmu di merata institusi pendidikan menengah perdana dan swasta termasuklah di IPTA, IPTS dalam dan luar negara. Selain itu, kejayaan kita memiliki rumah kedai 11 di Bandar Baru Seri Manjung melalui kaedah pinjaman bank bolehlah di anggap sebagai mercu tanda komitmen jamaah PAS dengan sistem pendidikan Islam. Kita juga sedang merancang dan mencari dana untuk membangunkan kompleks pendidikan Islam sebagai pelengkap kepada bangunan rumah kedai yang kita miliki ini di atas tanah yang telah diwakafkan atas nama pendidikan kepada PAS kawasan Lumut di Teluk Rubiah.

Sesungguhnya kejayaan yang kita kecapi ini bukanlah merupakan sesuatu usaha yang mudah dicapai tetapi berbekalkan rasa amanah dan ikhlas yang mendalam, kesungguhan dan keyakinan penggerak bermula dari Ahli Lembaga Pengarah, Guru-Guru serta ibu bapa, kemudian disokong penuh oleh ahli jamaah, para pencinta pendidikan Islam dan para dermawan adalah merupakan elemen penting sehingga kita mampu sampai ke tahap ini. Hanya kepada Allah sahaja yang layak untuk membalas jasa-jasa mereka.

Akhirnya, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung untuk menjayakan Sambutan 10 Tahun SERI/SEMI At Ta’alim dan di doakan semoga Allah mengiranya sebagai suatu amal sholih yang berkekalan hendaknya. Siru ‘Ala Barakatil’Lah.

HJ NOH AHMAD
SRAR/SMA AT TA'ALIM


Pendidikan merupakan suatu alat yang digunakan oleh manusia untuk memelihara penerusan hidupnya, baik sebagai individu maupun anggota masyarakat.Visi dan misi Pendidikan Islam mengarah kepada terbentuknya manusia yang berilmu, beriman dan beramal.

Tujuan utama dari pendidikan Islam ialah mencapai keredhaan Allah. Dengan pendidikan diharapkan akan lahir individu-individu yang sholeh, berakhlak, berkualiti sehingga bermanfaat bagi dirinya, keluarganya, masyarakatnya, bangsanya serta umat manusia pada umumnya.

Manusia adalah fokus utama dari pendidikan yang terdiri dari jasmani dan rohani. Justeru itu,SERI/SEMI AT TA'ALIM sebagai sebuah institusi pendidikan seharusnya lebih memfokuskan perhatiannya kepada membentuk nilai kemanusiaan, meneruskan sistem yang mengarah kepada terbentuknya manusia yang sholeh. Pendidikan Islam yang dianjurkan ini mampu melahirkan anak didik yang memiliki kebahagiaan dunia dan akhirat.

Tujuan pendidikan berkait dengan gambaran manusia terbaik yang ingin dlahirkan menurut persepsi orang-orang tertentu. Kualiti hidup seseorang ditentukan oleh pandangan hidupnya. Bila pandangan hidupnya berupa agama, maka manusia yang baik yang menjadi tujuan pendidikan adalah manusia yang baik menurut agamanya,
Prof.Dr. Muhammad At Taumi dalam bukunya Falsafatut Tarbiyyah menyebutkan bahwa pendidikan adalah proses pertumbuhan membentuk pengalaman dan perubahan yang dikehendaki dalam tingkah laku individu dan kelompok melalui interaksi dengan alam dan lingkungan kehidupan

Sedangkan Prof. Dr. Athiyah Al Abrosyi dalam bukunya At Tarbiyyatul Islamiyyah menyatakan bahwa prinsip utama pendidikan Islam adalah pengembangan berfikir bebas dan mandiri secara demokratik dengan memerhatikan kecenderungan anak didik secara individu yang berkaitan aspek kecerdasan akal dan bakat yang dititikberatkan pada pengembangan akhlak

Orientasi dan arah kehidupan manusia menurut Al Qur’an adalah iman, ihsan dan takwa sebagai tanda keislaman seseorang yang dilihat dalam tingkah laku ibadah. Ini bererti bahwa pendidikan Islam adalah tindakan kesedaran diri secara sosial yang dilakukan secara terancang dengan mengarahkan seluruh manusia kepada ilmu, ihsan dan takwa yang membentuk pola perlakuan ibadah.

Dalam Al Qur’an, manusia ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di alam semesta ini. Dia adalah khalifatullah di muka bumi. Sebagai khalifah ia dilengkapi dengan potensi-potensi yang memungkinkan dirinya dapat melaksanakan tanggung jawabnya. Ada beberapa ciri yag diberikan oleh Allah sehingga membezakannya dengan makhluk yang lain. Ciri tersebut adalah : fitrah, ruh,, kebebasan ( kemauan ) dan juga kemauan yang membuatnya dapat menentukan pilihan antara yang benar dan yang salah.

Dengan kelebihan yang dimilikinya itu menjadikan tujuan tertinggi dari pendidikan Islam adalah membina individu-individu yang akan bertindak sebagai khalifah. Fitrah manusia harus dikembangkan sebagai salah satu aspek utama tujan pendidikan dengan tidak mengkesampingkan aspek yang lain seperti perkembangan spiritual (ruh ), kebebasan kemauan, akal, dan juga perkembangan jasmani dan mental.
SRAR/SMA AT TA'ALIM
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda S.A.W. disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Isra’” itu.

Semasa Isra’
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah S.A.W ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah :
I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S menerima wahyu daripada Allah.
III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib Antaranya:-

1) Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
2) Tempat yang berbau harum, Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
3) Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4) Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5) Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka . Kata Jibrail : Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.
6) Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
7) Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
8) Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir merekakembali seperti biasa. Kata Jibrail : itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9) Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail : Itulah orang yang kanan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menginakan) orang.
10) Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal tapi sudah terlambat.
11) Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12) Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail : Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.
13) Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala ambia’ dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.





Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama : Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua : Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S dan Nabi yahya A.S.
3. Langit Ketiga : Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
4. Langit Keempat : Naik tangga keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
5. Langit Kelima : Naik tangga kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit keenam : Naik tangga langit keenam : Bertemu dengan nabi-nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70 000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh : Naik tangga langit keyujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada mala mini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S bersabda : “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha iilah allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan : Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya.
9. Tangga kesembilan : Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha . Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.
10. Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul – Nya.

Allah S.W.T : Ya Muhammad

Rasullah : Labbaika

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang
tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan
Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angina. Engkau
ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan
orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai
penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka
dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik
umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada
hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang
tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu. Aku berikan mu
ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai suatu
perbendaharaan di bawah “arasy”. Aku berikan habuan daripada
kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi
munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam
dan semua yang lainya di bawah panji-panji mu. Dan aku
fardukan atas mud an umat mu 50 (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S kemudian nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W meraya kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas Sembilan kali meraya, (setiap kali dikurangkan 5 waktu) akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudianya menjadi (saksi) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum Hijrah).
SRAR/SMA AT TA'ALIM
SRAR/SMA AT TA'ALIM

Sekolah Rendah Islam At Ta’alim telah ditubuhkan pada 1 Januari 1998 bersamaan 30 Syaaban 1418H dan telah didaftarkan dengan Jabatan Agama Negeri Perak dengan nama rasminya SEKOLAH RENDAH AGAMA RAKYAT (SRAR) At Ta’alim. SERI At Ta’alim telah memulakan sesi persekolahannya pada 5 Januari 1998 bersamaan 6 Ramadhan 1418H. Bermula dengan 4 orang guru termasuk seorang Guru Besar dan murid seramai 44 orang dalam dua buah kelas (Tahun 1 dan Tahun 2) di sebuah rumah yang disewa di M2, Fasa 1D1, Sei Manjung.

Pada tahun 1999, premis sekolah terpaksa berpindah ke bangunan rumah kedai yang disewa di Bandar Seri Manjung (Blok S13,S14 dan S15 Fasa 1C2) ekoran daripada sambutan orang ramai dan peningkatan pelajar secara mendadak kepada 156 orang dan pertambahan guru sehingga 8 orang.

Pada Tahun 2000, Seri At Ta’alim terpaksa menyewa 4 (S12, S11, S10 dan S9) buah kedai lagi untuk menjadikan semuanya 7 buah bagi tujuan menampung pertambahan pelajar dan guru. Seorang hamba Allah telah mewaqafkan sebidang tanah Lot 8853, Mukim Sitiawan, Daerah Manjung di Teluk Rubiah dengan keluasan 2 ¾ ekar untuk dijadikan kompleks pendidikan At Ta’alim. Proses penyerahan dan pertukaran nama kepada pemegang Amanah telah dilaksanakan dengan lancar.


Pada tahun 2001, 4 buah kedai (S8, S7,S6 dan S5) telah disewa menjadikan kesemuanya 11 buah kedai yang disewa bagi tujuan menampung penambahan kelas, dewan sholat, bilik komputer dan perpustakaan. Sehingga kini (2006) sebanyak 11 buah premis rumah kedai Fasa 1C2 telah disewa oleh pihak pengurusan Seri At Ta’alim untuk dijadikan kelas, pejabat, dewan sholat/dewan peperiksaan, perpustakaan, kantin, bilik guru, rumah guru dan asrama untuk murid Tahun 6 dan Tingkatan 3.

Pada Tahun 2003, Sekolah Menengah Islam Seri Ta’alim (SEMI) telah ditubuhkan untuk menampung permintaan ibubapa bagi tujuan lanjutan pendidikan lepasan Sekolah Rendah Islam At Ta’alim (SERI) keperingkat menengah.

Pada Tahun 2004, pihak pengurusan telah menyewa sebuah lagi premis rumah kedai T5 bagi tujuan menempatkan kelas (Tingkatan 1 – 3) dan bilik guru SEMI.

Disember 2007, Seri At Ta’alim melalui SRI AT TA’ALIM Management SB telah berjaya membeli 11 buah rumah kedai 2 tingkat di Fasa 1C4 melalui pembiayaan Pinjaman Bank Muamalat. Sekolah Sesi 2008 (Januari 2008) beroperasi di bangunan baru di fasa 1C4 Seri Manjung.

SRAR/SMA AT TA'ALIM
Sambutan 10 Tahun penubuhan srar/sma at ta'alim
Pengisian program :
1) 1 Ogos 2009 :Makan Malam bersama dengan YB Hj Ir Mohd Nizar Jamaluddin. Turut menyerikan makan malam tersebut ialah Sdra Azhan (juara akademi Nasyid)(Kupon boleh didapati di pejabat SRAR/SMA At Ta'alim @ RM 30.00 untuk satu tempat = RM300 bagi satu meja 10 orang)
2) 8 Ogos 2009 : Jualan Hari Kantin, Pameran Kesihatan.