SRAR/SMA AT TA'ALIM

Menyambut ulangtahun keputeraan baginda rasul saw. tidak sama sebagaimana kita menyambut ulangtahun keputeraan tokoh – tokoh dunia yang lain yang hanya berlegar di sekitar majlis upacara dan keraian. Sambutan Ulang tahun keputeraan Nabi saw. adalah sangat penting bagi kita ummat Islam akhir zaman. (sekalipun ianya tidak pernah dianjurkan oleh baginda dan para sahabat rhm.)

Justeru sambutan ini berfungsi untuk mengingat dan menginsafkan ummah terhadap beberapa perkara

Kesyukuran terhadap perutusan rasul saw. yang menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya hidayah.

• Penyataan bersama bahawa kita seluruh ummat Islam bersedia dan sanggup untuk melaksanakan syariat dan sunnah yang ditinggalkan oleh baginda.

• Ikrar dan janji setia, bahawa kita akan menyambung risalah dan perjuangan baginda rasul saw.

• Mengambil qudwah dan iktibar dari keperibadian dan sirah (perjalanan hidup) baginda rasul saw.

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" Surah Al Ahzaab. Ayat : 21

Sebarang sambutan ulangtahun keputeraan baginda Rasul saw. yang tidak berasaskan perkara – perkara di atas, malah dicampur aduk pula dengan permainan dan hiburan kononnya di atas alasan untuk memeriahkan sambutan maulud, maka ianya bukan sahaja bertentangan dengan matlamat asal sambutan, tetapi ianya dilarang oleh agama.

Latar belakang ummah disaat sambutan Maulidun Nabi saw.

Perlu disedari bahawa kita menyambut ulangtahun keputeraan baginda rasul saw. pada tahun ini, disaat ummat Islam menerima tekanan dan penghinaan yang sangat hebat dari segenap arah. Samaada dari konspirasi barat dan golongan musyrikin malah juga dari golongan mereka yang mengaku beragama Islam tetapi keliru dan bersikap biadab terhadap agama yang mereka anut sendiri.

Suasana ini memaksa kita, tidak sekadar kita menyambut keputeraan Nabi saw. dengan alunan selawat salam dan perarakan marhaban, tetapi menyambutnya dengan menggerakkan dhomir (sanubari) kita dan ummah seluruhnya, supaya bangun BERJUANG membersihkan kembali maruah ummat Islam yang tercalar dan mengangkat kembali martabat ummah yang dihina.

Kembali kepangkuan sunnah

Tiada siapa yang mampu menafikan, bahawa zaman Rasulullah saw. adalah zaman kegemilangan Islam dan kita tentunya juga mendambakan kegemilangan tersebut. Justeru itu, suka atau pun tidak, kita terpaksa kembali menilai formula dan kaedah baginda rasul saw. membentuk kegemilangan.

Sebelum itu, kita sewajarnya memahami erti kegemilangan.

Dunia yang penuh dengan bangunan mencakar langit, peralatan yang serba moden dan canggih, tetapi manusia yang menghuni bangunan pencakar langit dan mengguna peralatan canggih adalah :

1. Manusia yang yang tidak beriman kepada akhirat sehingga tidak kenal dosa dan pahala, syurga dan neraka. Mereka sanggup buat apa saja untuk kepuasan nafsu serakah mereka .
2. Manusia yang rosak moral dan akhlak.
3. Manusia yang berperi kebinatangan, hanya mementingkan diri dan pengaruh, tidak bersimpati terhadap mangsanya demi kuasa.
4. Manusia yang merosakkan tamaddun dan masa depan hanya kerana didorong angan – angan dunia yang penuh dengan tipu daya.

Sementara yang hidup dicelah – celah bangunan dan alat canggih itu pula ialah :

1. Manusia sampah masyarakat yang terdiri dari penagih dadah dan pelacur.
2. Manusia yang yang tidak mempunyai matlamat hidup dan pedoman yang jelas, sehingga maksiat semakin menjadi – jadi.
3. Remaja yang tiada pembimbing dan tersisih dari kasih sayang keluarga yang sibuk memburu dunia.

Apakah ini suatu kegemilangan ?

Itu bukan kegemilangan ….itu adalah kesesatan yang di make – up dengan kemodenan lantas dianggap up to date.

Nabi saw. pernah bersabda :

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابُ اللهِ وَ سُنَّتِيْ

Maksudnya :
Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat buat selama – lamanya jika kamu berpegang teguh dengan kitab Allah (al quran) dan sunnahku.

Formula dan kaedah Nabi saw.

Sekurang – kurangnya 4 rampaian siri perjuangan nabi saw. membina kegemilangan ummah yang mendapat keredhAan daripada Allah swt.

  1. Mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada toghut.
  2. Menjulang dan menobatkan agama Allah sehingga mengatasi segala agama dan ideology ciptaan manusia.
  3. Menegakkan agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama
  4. Perangilah mereka (musuh) sehingga tiada lagi fitnah (kekufuran)

Melaksanakan 4 rampaian ini memerlukan

  • Keyakinan
  • Keberanian
  • Kesungguhan
  • Kebijaksanaan

Untuk melaksanakan Islam dan mengikut sunnah, kita tidak boleh ikut barat atau orang yang tidak mengerti mengenai agama.

1) Firman Allah swt :
Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar) Surah Al Jaathiyyah. Ayat 18
2) Firman Allah swt:
Dan jangan kamu mengikut kehendak hawa nafsu kerana kelak disesatkan kamu dari jalan Allah swt. Surah Sad. Ayat : 26
3) Laksanakan Islam ikut sunnah… Ikut rasul saw.
4) Pelaksanaan Syariat dan Ketuanan Islam.

Seperkara yang perlu difahami, bahawa kelahiran Rasulullah saw. adalah membawa agenda untuk meruntuhkan jahiliyyah dan mendaulatkan Islam di atas runtuhan jahiliyyah tersebut.

Prinsip ini juga mestilah menjadi prinsip kita sebagai seorang muslim. Meruntuhkan jahiliyyah dan membina Islam di atas runtuhan Jahiliyyah tersebut. Bukan meruntuhkan jahiliyyah kuno kemudian membina jahiliyyah moden.

Rasulullah saw. mengambil masa 23 tahun untuk menumbangkan jahiliyyah dengan membentuk program :

• Bina aqidah, akhlak dan ibadah (dalaman)
• Membentuk pendakwah untuk dihantar ke segenap ceruk rantau
• Menyediakan plan operasi untuk bina Daulah Islamiyyah.

Ramai ummat Islam sekarang lupa persoalan ini (Dakwah dan Daulah) ketika menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw. Dakwah dan Daulah 2 kerja besar baginda Rasul saw.

Oleh Ahmad Yusuf, Kaherah
http://www.shura-asia.org/shura

SRAR/SMA AT TA'ALIM
SRAR/SMA AT TA'ALIM
Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW, sabdanya:

"Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).

Yang demikian itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku".

(Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)

sabda Nabi SAW.:

Ertinya. Barangsiapa yang Allah inginkan agar ia menjadi orang yang baik, maka Allah akan tafaqquhkan dia dalam (urusan) agama.

(Hadis Sahih, Muttafaq 'Alaihi)

Mari kita renung sejenak tentang Saidina Umar Ibnu Al Khattab RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa jahiliyahnya. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.

Apakah rahsianya Saidina Umar Ibnu Al Khattab RA boleh mencapai tahap tersebut?

Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin.

Sungguh banyak I’tibar (pengajaran) yang dapat kita ambil daripada kisah beliau.
Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau merubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang beliau hijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling adil.

Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang selok belok agama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW.:


Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak beribadat).

(H. Tarmidzi, Ibnu Majaah dan Al Baihaqy)

Omar Ibnu Al Khattab RA berkata:

Ertinya: Kematian seribu orang yang banyak beribadah malam dan berpuasa siang harinya adalah lebih ringan daripada kematian seorang yang berakal lagi memahami tentang hukum Allah, halalnya dan haramnya.


Daripada Saidina Ali Bin Abi Talib RA, bahawa Nabi saw bersabda:

Mahukan, kamu aku khabarkan tentang orang yang paling faqih. Jawab para sahabat: baiklah. Sabda Nabi: Iaitu :
1) orang yang tidak suka membuat manusia putus asa akan rahmat Allah, dan
2) dia tidak menenteramkan manusia daripada pembalasan Allah, dan
3) dia tidak benci kepada Al Quran.

Ketahuilah olehmu :
Tidak ada kebaikan pada ibadah tanpa tafaqquh, dan
tidak ada (kebaikan) pada ilmu tanpa kefahaman, dan
tidak ada (kebaikan) pada bacaan Al Quran tanpa tadabbur (penghayatan).

(Dari Saidina Ali).





SRAR/SMA AT TA'ALIM




























































































































Sumber:Hj Fawi